Author: Mazarina
•5:03 AM

Oleh: Mazarina Ismail


Tangan kanannya memegang epal hijau yang hampir separuh, tangan kiri pula menguis-nguis daun kering di bawah bangku putih. Sorot matanya kemudian terarah jauh ke hadapan. Tulip sudah pun berbunga.

Hatinya berlagu riang. Anganan untuk melihat tulip berpuput di dada sejak kecil. Bumi Amsterdam sedari dulu melambai-lambai menggamitnya datang mengejar tulip di tanah Belanda. Juga kisah potret dan lukisan-lukisan agung Rembrandt di Rijkmuseum pernah menakluki sekaligus memaksa atmanya untuk meneroka negara penjajah itu.

Dia gilakan seni. Dia mengagumi Van Gogh; menelusuri karya-karya Pablo Picasso ; jua menghayati luahan rasa puisi-puisi agung sasterawan negara.

Lantaran sejak kecil dikelilingi dengan buku-buku cerita dan dunia komik; dia jadi kepingin menghiasi hidupnya dengan rencam rasa bau helaian-helaian ilmu sepanjang hayat. Lantaran keluarga yang meminati dunia flora dan hidup dikelilingi dengan bunga-bunga; dia jadi gila bayang untuk memiliki secret garden yang penuh rahsia; mencicip kopi panas sambil bersantai tenggelam dalam dunia buku di taman larangan.

Dia perempuan yang kaya impian. Mewah dengan angan-angan, dan genta pengorbanan. Dia punya cita-cita agung. Mahu menjelajah sepertiga dunia. Mahu menjadi saksi tulip berbunga di tanah Belanda, mahu merakam seni bukti cinta Shah Jehan kepada surinya, Mumtaz Mahal. Dia mahu menghidu dan meneroka tanah Iran yang didominasi puak Syiah yang taksub merayakan Hari Karbala. Dia mahu menjejak tanah Afrika dan menghadam rutin anak-anak malnutrisi yang kekurangan segala makanan dan hidup kemiskinan.

Dia mahu menjadi sebahagian yang menghayati payah hidup manusia yang dari luhur Adam, tapi punya warna kulit yang rencam. Dan dia masih ingat, pasak perjalanan impiannya mengembara di tanah orang bermula di tanah Kenyalang. Tuhan memberinya peluang menggali pengalaman di daerah Iban itu. Pengalaman yang kadang menyeksa kujur jiwa dan badan. Pengalaman yang limpah dengan rindu; kadang diselang dengan tawa dan air mata.

**********************


(secebis drpd cerpen ke-3 ku....mula dinukil tika tahun pertama di tanah Kapit.. 2007)


Author: Mazarina
•4:36 AM

Oleh: Mazarina Ismail


Lamington, kek span yang dilitupi coklat dan kelapa parut itu digigit Fudail dengan lahap. Anak matanya dibiarkan merata, menyusuri keunikan kota kedua terpadat di bumi kanggaru itu. Semua orang kelihatan sibuk. Berkejaran, bagaikan dirasuk roh duniawi untuk menimbunkan harta sebanyak mungkin.


Sesekali, berpapasan beberapa lelaki warga Victoria berkot dan bertali leher. Fudail mendongak, mencipta harap. Dari pagi, tiada dolar pun yang mengisi kocek. Kering. Gersang. Segersang pokok boabab pabila musim kering datang menjengah muka di bumi Melbourne. Pada ketika itu, ada rintih halus mampir dan juga pergi. Ada gegumpal hiba semacam mendominasi dada.

Dulu, tatkala dia punyai wang hasil tajaan JPA, saban hari ruang hidupnya enak menjarah dan menikmati ria. Kehidupannya tidaklah sesusah mana. Dengan berbekalkan 60 dollar setiap hari, dia menyewa basikal ke kuliah. Fulus bukanlah menjadi persoalan ketika itu. Bersama biasiswa perubatan ditambah pula dengan simpanan hasil kerja kerasnya di ladang ceri, duitnya tidak pernah putus. Persis deruan salji cair yang mengalir pada musim bunga ke Sungai Murray. Terus, terus dan tidak pernah berhenti.

Fudail memejam, cuba menghening cipta. Wajah Josh membuai. Ya, dia masih ingat lelaki itu. Argh! Persetankan lelaki itu! Kerana lelaki itulah, kenangan yang tercipta di bumi yang telah dipisahkan dari Pangaea dan Gondwanaland itu menjadi hitam, pekat, gelap. Babak demi babak kenangan lama menerpa dimensi fikiran. Josh! Lelaki Jerman yang tinggal di Lembah Barossa, arah timur laut kota Adelaide. Lelaki yang sentosa memadu kasih bersama teman wanitanya di Sungai Yarra. Lelaki yang bakal mewarisi beratus-ratus hektar ladang anggur milik keluarga.

Anganan Fudail mati. Gelak tawa riang beberapa orang pelajar universiti menghenyak lamunan. Fudail tersenyum, menampakkan barisan gigi kekal yang sedikit kekuningan. Dia kenal mereka! Pelajar-pelajar Malaysia yang tinggal di Wills St. Mereka rajin menyapanya. Dulu, dia juga begitu. Pelajar universiti, kuliah perubatan. Tetapi, kehidupan yang rencam di sinilah yang mengajarnya menjadi liar, tegar dengan prinsip yang karut. Jahat? Tidak. Dia tidak jahat. Dia tidak pernah menyentuh arak. Dia tidak pernah berzina. Cuma...cuma dulunya dia terlalu percaya pada teori: yang kaya berkuasa, yang lemah ditindas. Persis Teori Darwin, bukan? Dalam The Origin of Species, Darwin mendakwa adalah perlu untuk bangsa-bangsa yang lebih rendah dihapuskan dan tidak perlu bagi manusia yang maju untuk melindungi mereka dan membiarkan mereka hidup. Anak bumi kelahiran Britain yang terkenal dengan sifat rasialisnya itu melihat penduduk asli Australia dan Negro sebagai makhluk-makhluk yang sama taraf dengan gorila. Perlu dipupuskan dan dilenyapkan terus.

Tidak! Jangan salah faham. Dia bukanlah Darwinis yang membuta tuli mempercayai teori-teori gharib begitu. Dia orang Islam. Masih percaya yang dunia ini ada tuan yang berhak, dan Allahlah tuan yang haq!

" Mr. Cobbler.." Kenangan lama terpadam. Seorang lelaki tunduk sambil menanggalkan kasutnya yang sedikit koyak.


**********************************


Wayu petang itu cukup nyaman dan dingin. Suhu kota Melbourne hampir-hampir mencecah 14C. Awan yang mulanya kelabu bertukar warna menjadi hitam pekat. Titik-titik gerimis berlumba-lumba membasahi bumi. Kala itu, pandangan Fudail telus. Menyeruak ke pelbagai arah. Sorot mata lesunya merenung jauh, menembusi bukit-bukau yang ilam-ilam membatasi ufuk langit. Sesekali, puput semilir mengelus-ngelus pipinya lembut.

Fudail akhirnya tercenung dalam sepi yang panjang.

Entah mengapa, lewat waktu ini seringkali benar cepu fikirnya diterjah seseorang. Hatinya tiba-tiba jadi tidak keruan.

Amirah Nur Hayah!! Mengapa wajahmu juga yang selalu terbayang di ruang mata??

Serasa masih segar di ingatannya roman wajah gadis itu. Perawan manis itu akan tersenyum riang apabila mereka sama-sama memborong barang-barang cheapsale di Myers, sama-sama menjinjing plastik hijau dari Safeway, sama-sama mengangkut keperluan-keperluan barbeku dari Brunswick, dan juga melayan camar-camar riang di Batman Park.

Hayah, an-nisa’ yang berjiwa safi. Srikandi yang tinggi hemahnya serta amat sangat pula sakhawatnya. Dia kagum dengan gadis manis itu. Fudail berdikit-dikit menyusun ceritera hidup yang pernah dikongsi bersama pemilik qalbun salim itu. Dia mula terbang menaiki Jetstar, merakam semula kenangan-kenangan indah di Gold Coast. Kamera penglihatannya bagaikan masih tergambar detik-detik manis mereka bersama teman-teman lain menelusuri Dreamworld, menyaksikan pertunjukan mencukur bulu-bulu binatang istimewa Australia, serta menghabiskan masa hampir sehari menjejak lokasi dan menyelami cara-cara pembuatan filem Warner Bross di Movie World. Keadaan panas dan berdebu di Sovereign Hill pula tidak sesekali mematikan langkah mereka untuk terus, terus dan terus menyusuri pekan cowboy itu.

Hayah!! Fudail menyeka air mata yang hampir menjujuh keluar. Tubir empangannya kian pecah. Dia terlalu merindui gadis itu. Terlalu amat!!

Fudail terbang lagi, dari Gold Coast dia meredah awan balik semula ke Melbourne. Sahifah hidup mereka diselongkar lagi satu demi satu.

Melbourne, bumi Victoria yang terlalu banyak mencipta kenangan. Kenangan milik dia dan Hayah. Kenangan-kenangan yang kadangkala merobek ulu hati yang sudah sedia bercetai, hancur lumat dipijak-pijak perbuatannya sendiri. Hati Fudail mendongkol. Kesal dengan sikap zaman jahiliyahnya dulu.


****************************************


Pelipisnya mula digenangi air mata sendu. Rinai gerimis makin lebat mencipta arus. Arus yang akhirnya membiarkan Fudail terbenam dalam sejarah yang sentiasa meleburkannya bersama Hayah. Dan detik ini, Fudail bukan lagi menghirup udara Melbourne 2005 yang memaksanya tergapai-gapai sendirian, tetapi dia kini berkelintar bersama-sama Hayah di jagat yang sudah menjadi sejarah.


“ Selamat hari raya.” Hayah menyapa mesra, sambil tangan kanannya menghulur plastik yang berisi kuah kacang, ketupat, rendang dan nasi himpit. 1 Syawal tahun ini hanya mampu dirai bersama teman seperjuangan di Malaysia Hall. Demi Tuhan, rindu dan sebak teringatkan daerah kelahiran menyesak dada, namun dia bersyukur masih diberi ruang. Tuhan masih inginkannya menyambut Syawal, meski bukan di tempat sendiri. Lalu, dia nekad untuk berkongsi kegembiraan Syawal bersama saudara baru kelahiran Australia itu. Kepingin untuk berkongsi juadah-juadah enak hari raya bersama tukang kasut yang serba dhaif itu. Sementelah, rengsa yang memagari lelaki itu menyiat sukma hatinya. Tiada keluarga, tiada saudara-mara untuk berkongsi nur adiwarna Syawal.

“ Terima kasih…” lambat-lambat Salahuddin menyambut huluran Hayah. Sebetulnya, dia keberatan menerima. Bukan tidak sudi, apatahlagi Hayah itu gadis yang sudah terlalu banyak menabur budi, tapi dia bukanlah jenis lelaki yang enak berjelera mengait kegembiraan sendiri, sedangkan ada hati yang parah menganyam ruwet-ruwet duka.

Pagi Syawal itu, Hayah manis bersutera Thai berona ungu muda. Bertemankan Wardah, gadis Melayu yang juga manis dan sopan dengan bertunjang dan berceracakkan agama yang masih jadi pegangan. Mereka gadis Asia yang tidak terlebur dengan pengaruh, masih sarat dengan prinsip yang sukar direnggut.

Aduhai hati, Hayah itu gadis istimewa!! Bidadari yang tega menghulur, walau teman di sisi menunjuk benci. Mungkin Hayah asalnya dilahirkan berhati pejal, dadanya masih sarat perjuangan yang diwarisi dari susur galur Zainab Al-Kubra, maka bila dilarang dia tidak mudah gentar. Berkali-kali dia melihat Fudail menunjukkan rasa tidak senang, mengekspresikan wajah yang dijentik cemburu kala menemani Hayah dan Wardah singgah menyapanya.

Ingatannya bergentayangan ke pertemuan mereka lapan bulan yang sudah. Kala itu, mereka bertiga datang ke Cobram untuk bekerja di ladang ceri, bagi memenuhi ruang cuti universiti. Dia yang sudah lama mencari rezeki di ladang itu, ramah melayani dan meladeni.

Cobram! Selama-lamanya mindanya tidak akan zulmat untuk melupai tempat itu. Juga kotak ingatannya tidak akan sirna dengan nama seorang hamba yang zuhud dan tinggi hamasahnya, Ustaz Ali. Insan yang telah membawanya mengenal jalan pulang. Merubahnya daripada seorang kafir kepada muslim sejati. Dulu dia lelaki atheis yang tidak mengenal Tuhan. Lelaki aborigin yang aliran darahnya suatu ketika dulu sentiasa diisi dengan larva-larva witchetty panggang. Juga lelaki yang buta dan tuli dengan hukum halal dan haram. Namun takdir Allah swt itu luar biasa hebatnya. Daripada hidup terkurung dengan dosa dan noda, dia ditunjuki Allah dengan nikmat Islam. Kalimah-kalimah Al-Furqan yang dibaca Ustaz Ali saban hari membuka hatinya mengenal jalan mustaqim.

Tinggal bersebelahan rumah, dia jadi rapat dengan warga Malaysia itu. Isterinya pengagum ilmu-ilmu biologi, ditugaskan ke Australia dan atas tanggungjawab sebagai suami yang dipundaknya, Ustaz Ali turut menemani. Dan dengan pertolongan ustaz Ali lah dia akhirnya melafazkan satu akad yang telah merubah keseluruhan hidupnya. Satu akad, satu janji yang dilafazkan untuk ditepati antara manusia dengan Tuhannya.

Ustaz Ali bermazhab Syafie, tidak seperti komuniti kecil penduduk Iraq beragama Islam yang tinggal di Cobram, menganut fahaman Syiah Al-Jaafari. Namanya, Salahuddin diberi atas cadangan ahli agama yang berjiwa suci itu. Katanya, sempena nama Salahuddin Al-Ayubbi.

Ketika orang-orang Yahudi, Nasrani dan Islam hidup dalam perdamaian hasil usaha Umar Al-Khattab membina zaman baru setelah menakluk Palestin, pada 27 November 1095 di Dewan Clermont, Paus Urbanius II telah memutuskan untuk “memerdekakan” tanah suci daripada orang-orang Islam. Lebih 100 000 orang Eropah bergerak ke Palestin atas ajakan dan tiupan semangat oleh sang Paus. Setelah mengalami perjalanan yang panjang dan amat meletihkan, The Crusaders (tentera Perang Salib) akhirnya berjaya menakluk Palestin pada tahun 1099. Kota suci ini akhirnya jatuh ke tangan Crusaders setelah pengepungan hampir lima minggu.

Kedamaian yang berlangsung sejak zaman Umar, berakhir dengan pembantaian yang cukup mengeri dan menakutkan. The Crusaders membunuh orang-orang Yahudi dan Islam . Dalam dua hari, 40 000 jiwa umat Islam dibantai dan dibunuh dengan cara yang cukup zalim dan tidak berperikemanusiaan.

Crusaders menjadikan Palestin sebagai ibukota mereka, juga turut mendirikan Kerajaan Katolik yang terbentang dari Palestin hingga ke Antakiyah. Namun, kekejaman mereka tidak lama, Palestin akhirnya dikurniakan seorang pahlawan Islam yang cukup agung dan dijulang namanya. Salahuddin Al-Ayubbi, tokoh yang tercatit dalam helaian sejarah diutuskan Allah menamatkan kezaliman Crusaders. Salahuddin mengumpulkan seluruh kerajaan Islam di bawah panjinya dalam satu perang suci (Pertempuran Hattin) untuk membebaskan Palestin daripada tentera yang telah membunuh dan meratah hidup-hidup kedamaian umat Islam. Salahuddin Al-Ayubbi akhirnya berjaya ‘memerdekakan’ Palestin semula setelah rebah tersungkur di kaki Crusaders.

“Hayah singgah sekejap saja ni. Ada barang nak beli di Myers. Ada masa, kami datang lagi.”

Hilang Salahuddin Al-Ayubbi. Lebur wajah Ustaz Ali di Cobram.

Salahuddin mengulum senyum. Dicapainya plastik yang berisi baclava, manisan yang dibeli selepas solat Aidilfitri tadi. Dihulur pada Hayah, tanda membalas budi. Fudail yang memerhati, mendehem keras. Anak matanya memanah tepat ke mata jeli Salahuddin. Di situ, ada geram bercampur dendam. Ada cemburu yang menjulang marak.

Salahuddin menunduk. Dia faham benar, tindak-tanduknya seringkali disalahtafsir. Apatahlagi tukang kasut sepertinya, hidup dalam kemelaratan dan kesempitan. Jauh benar bezanya dengan Fudail dan Hayah yang bakal bergelar doktor. Tapi dia tahu, panas dendam perlu dijirus dengan salju kesabaran. Hatinya tekad, tali persahabatan bakal mereka simpul jika dia tega dengan segala kerenah Fudail.




(secebis drpd nukilanku...)

-cerpen kedua terhasil selepas menamatkan zaman universiti (2005)...berusaha mengkaji keadaan geografi bumi Aussie yang tidak pernah dijejak.