Author: Mazarina
•6:57 AM
OLEH: MAZARINA ISMAIL


Ladang teh yang melebar tersedia di depan mata menawan pandangan. Semilir angin dingin tanah Jawa makin meratah tubuh. Menggigit-gigit. Mencengkam hingga ke sumsum. Dibiarkannya. Dia percaya; hangat yang di dalam hati mampu untuk memanaskan suasana sekeliling yang berhawa sejuk. Malah yang lebih sejuk. Datanglah ribut keras yang menggegarkan Ladang Teh Gunung Mas, yang menggelodak di hati mampu lagi mencairkan yang beku. Hatinya makin hangat. Jiwanya berbaur berbagai rasa; penuh bunga-bunga yang lembakan harumnya berkitar di sekitar hati. Dia menafsir-nafsir diri.

Hawa di Puncak Highland tidak ada bezanya dengan cuaca di Tanah Tinggi Cameron. Segar. Hijau. Damai. Dingin. Bak kesegaran pagi yang penuh embun; erang-erot menitis ke dada bumi.

Jawa Barat yang baru tiga hari didudukinya nyata tidak mengecewakan. Pramuwisata yang peramah, gadis Jawa putih mulus yang menggegar landahur rasa. Juga hatinya teruja dengan semangat rakyat Indonesia mencari wang saku di tengah-tengah kota macet. Dongengan unik Tangkubah Parahu yang mencuit rasa tersebar luas, menjarah cerita anak yang mencintai ibu kandung sendiri. Dia tersenyum puas. Bandung yang terkenal dengan dara-dara berhidung mancung kacukan penjajah dulu kala amat menyenangkan hati. Gadis-gadis Timur yang ramah dan sopan meladeni orang mengagumkan pelancong luar.

Juga Jakarta yang menghiburkan. Kota yang membuka mata menawar cara hidup yang berbeza. Tanah yang gurat wajah manusianya yang kaya cerita malah budaya. Lantas redup teduh mata di pinggir-pinggir jalan mengukir kisah-kisah yang bersisa. Kisah yang menggamitnya menjelajah cerita manusia dengan warna kulit yang sama tetapi di tanah yang berbeza.

Awan membedung pejal menggawangi harinya di tanah Puncak. Sejam setengah perjalanan dari Jakarta tidaklah terlalu memenatkan. Perjalanan yang melaut pengalaman. Pengalaman yang mahal di hati. Seperti melombong emas, mahal lagi.

Langit makin hitam pekat. Gelap. Hujan makin menjengah. Burung yang melayut-layut di kaki langit; melayah turun. Seekor demi seekor. Gerimis akhirnya membasahi tanah Jawa.


Nasi Sunda dan sate arnab di depan matanya dijamah berselera. Petang hening berhawa sejuk itu mengasaknya merenung kembara diri. Dia berjalan mengenal tempat orang dengan rencam tujuan. Dia yang penuh impian menanam semangat yang membusung. Tanah Jawa mahu diterokanya sungguh-sungguh. Selesai di Puncak, dia akan kembali lagi ke Jakarta.

Dan dia mahu belajar sesuatu di situ. Di tanah itu.



(secebis drpd cerpenku....ditulis Mac 2011...-latar kembara Tanah Jawa Dec 2008)